Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Pelakon Vetetan Aziz Singah Meninggal Dunia Hari Ini Al Fatihah

PETALING JAYA: Pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 74, meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang dekat sini pada Jumaat akibat kanser prostat.
Anaknya Muhammad Daniel Aziz, 24, berkata, arwah meninggal dunia kira-kira pukul 11.10 malam Jumaat di samping keluarga.

“Ayah berada dalam keadaan nazak semasa dirawat di Pusat Kanser Negara, Putrajaya dan kira-kira pukul 10 malam, kami memutuskan untuk membawa dia pulang ke rumah.

“Kira-kira sejam berada di rumah, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir,” ujar Muhammad Daniel ketika dihubungi mStar Online.

Kata Daniel, Allahyarham akan dimandikan di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) kira-kira pukul 8 pagi Sabtu dan akan dikebumikan di tempat kelahirannya di Kampung Bongek, Rembau Negeri Sembilan sebelum solat Zohor pada Sabtu.

Allahyarham menghidap kanser prostat sejak beberapa tahun lalu dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ditanya apakah pesanan terakhir arwah, Muhammad Daniel berkata, ayahnya banyak bercakap mengenai keluarga mereka.

Aziz Singah yang popular pada era 1980-an pernah membintangi banyak drama namun lakonannya dalam PJ Holding antara karya yang diingati sehingga ke hari ini.

Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Maria Mariana terbitan Skop Productions.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Khatijah Abu Hassan dan dikurniakan tiga orang anak namun hubungan itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudiannya berkahwin dengan Datin Zunita Mohamed dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan anak jumlah yang sama.