Nilai 1juta bukan sikit, Lufya jelaskan tuntutan mutaah kepada bekas suami
TINDAKAN Lufya Omar memfailkan tuntutan Mutaah sebanyak RM1 juta terhadap bekas suaminya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz sebelum ini mendapat kritikan ramai sehingga ada menganggap pelakon itu mata duitan.
Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar, 38, bagaimanapun menjelaskan nilai tersebut adalah harga sebuah pengorbanan yang dilakukan sepanjang empat tahun mereka berkahwin.
Jelasnya, jumlah tersebut juga adalah bagi memulakan kehidupan baharu bersama anak perempuan tunggalnya, Laana Haura yang kini berusia 6 tahun.
“Tuntutan Mutaah itu adalah berdasarkan kepada apa yang berlaku sepanjang perkahwinan kami iaitu pengorbanan saya.
Dr Che Hafiz meluahkan rasa terkejut dengan tuntutan dibuat bekas isterinya itu.
“Saya buat tuntutan itu disebabkan beberap perkara yang di antaranya mahu meneruskan kehidupan bersama anak apatah lagi kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang,” katanya kepada pemberita.
Lufya berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi pengurusan kes pada pagi Rabu.
Dr Che Hafiz bagaimanapun tidak hadir dan mahkamah menetapkan 26 Julai depan sebagai sebutan semula kes tersebut.
Tambah Lufya, nilai RM1 juta itu bukanlah nilai dirinya tetapi harga sebuah keadilan terhadap penceraian yang telah berlaku dan mendapatkan keadilan sebagai seorang ibu tunggal.
Ditanya punca mengambil tempoh lama sebelum memfailkan tuntutan tersebut, Lufya berkata, dia perlu membuat persediaan mental dan fizikal.
Kata Lufya tidak mudah bergelar ibu tunggal apatah lagi sebelum berkahwin dia mempunyai kewangan kukuh dan ia berbeza sejak mereka bercerai.
“Penceraian kami pun mengambil masa agak panjang dan sebagai wanita saya sendiri pun tidak mahukan perpisahan.
Tuntutan Mutaah itu adalah berdasarkan kepada apa yang berlaku sepanjang perkahwinan kami iaitu pengorbanan saya.
LUFYA OMAR
PELAKON
“Sebelum membuat tuntutan saya perlu bersedia fizikal dan mental apatah lagi saya perlu membesarkan anak seorang diri. Ia tak mudah kerana saya perlu mendahulukan anak berbanding perkara lain.
“Sebelum berkahwin saya aktif bekerja jadi pendapatan kukuh ketika itu. Sekarang ia sudah berbeza dan untuk ‘bangun’ kembali ia perlu masa yang panjang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Lufya juga menjelaskan sepanjang tempoh tiga tahun mereka bercerai, dia sudah memberi ruang kepada Dr Che Hafiz untuk memberi kasih sayang dan menjalankan tanggungjawab kepada anak mereka.
Sepanjang tempoh itu juga kata Lufya, dia tidak pernah membuat sebarang tuntutan kepada bekas suaminya itu melainkan nafkah buat anak mereka.
Lufya memberitahu apa dilakukan adalah demi anak perempuannya.
“Saya beri masa juga kepada Hafiz fokus pada anak dan beri nafkah sebab saya tak pernah tuntut apa-apa walaupun satu barang.
“Saya pun nak stabilkan diri juga, sekarang saya buat sesuatu (tuntutan Mutaah) untuk anak juga,” katanya.
Untuk rekod, Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Hafiz pada 26 November 2016 namun pasangan itu bercerai pada 17 Jun 2020.
Selepas tiga tahun bergelar duda, Dr Che Hafiz berkahwin dengan pelakon Julia Farhana pada 14 Disember 2022.
Kredit-mstar